Tuesday, November 2, 2010

Nabeelah Husna

BAYI HYPNOBIRTHING – NABEELAH HUSNA
Aku mengetahui mengenai hypnobirthing melalui Majalah Pa & Ma. Ketika itu, kandungan kedua sudah mencecah 6bulan. Bersalin kali ini aku berazam untuk menyiapkan diri untuk bersalin dengan cara yang mudah memandangkan aku langsung tidak pergi mana-mana kelas persediaan bersalin (pre-natal) bagi kelahiran pertama. Aku hanya menumpukan pada penyusuan susu ibu sahaja. Bagi kelahiran pertama, aku terpaksa membuat ‘induction’ kerana pergerakan bayi kurang dari 10 kali.
Melalui pembacaan buku hypnobirthing dan berjumpa dengan Pn Soo Wai Han yang sangat mesra dan prihatin, aku mempraktiskan sleep breathing, slow breathing dan mendengar guidance dari CD setiap hari. Kawan-kawan sepejabat semua tertanya-tanya bilakah aku akan bersalin memandangkan bentuk perutku semakin ke bawah. Aku hanya membuat lawak apabila aku akan bersalin pada 18 Ogos supaya tarikh lahirku sama seperti kawan baikku.
Penantianku berakhir pada 18 Ogos 2010(minggu ke39) apabila terdapat ‘birth show’ pukul 1.00 pagi. Disebabkan aku tidak merasakan sakit, aku terus tidur dan bersahur (makan sebelah pagi untuk berpuasa)  seperti tiada apa-apa yang terjadi. Aku memandu ke tempat kerja pada paginya dan berpuasa seperti biasa. Sehinggalah pukul 12.00 tengahari, ‘surge’ sudah mula terasa. Aku tidak senang duduk dipejabat, lalu berjalan disekitarnya sambil membuat ‘breathing’ dan mendengar CD . Pukul 3.00 petang, ‘surge’ semakin kuat. Aku meminta nasihat Pn Soo Wai Han samada perlukah aku balik sekarang atau tidak. Memandangkan aku dapat bergelak ketawa, dia menjangkakan bahawa aku mengambil masa yang lama lagi untuk bersalin. Namun dia menasihatkan supaya aku balik supaya keadaan aku tidak menakutkan kawan-kawan sepejabat. Argh, memandu sambil membuat senaman ‘breathing’ memang menyeksakan.
Setibanya dirumah, aku sempat mengemaskan beg-beg baju. Aku menelefon suamiku supaya membeli semua makanan idamanku; air kelapa, kuew tiaw, popia goreng memandangkan aku tidak boleh makan selama 44 hari. Jam menunjukkan angka 4 apabila aku mandi. Selepas solat Asar, ‘surge’ semakin kuat dan aku mengambil keputusan untuk tidur. Yup, betul kata Pn Soo! Aku langsung tidak merasa sakit semasa sedang tidur. Waktu berbuka puasa semakin tiba dan aku seperti kelaparan apabila makan semua yang diidam-idamkan. Aku menelefon emakku bahawa aku mengalami ‘false labour’ kerana tidak merasakan kesakitan langsung sehinggalah pukul 10.00 malam. Keluargaku akan datang  untuk mengambil anak pertamaku semasa aku berada dihospital kelak. Bersama dengan suamiku, aku solat terawih yang terakhir untuk tahun ini diatas ‘birth ball’. Haha, lawak bukan! Bersolat diatas bola besar yang bergerak-gerak! Aku patuh pada nasihat Pn Soo untuk pergi ke hospital apabila kita sendiri tidak menahan kesakitan.
Tepat  12.30 malam aku bersiap untuk bergerak ke hospital. Hujan lebat mengiringi perjalanan kami ke Hospital Putrajaya. Sesampainya di bahagian pemeriksaan, jururawat mendapati bukaan sudah  8sm dan kepala sudah  dibahagian serviks. Dia hampir tidak percaya kerana aku dapat menjangkakan waktu aku akan bersalin. Jangkamasa waktu pendaftaran hingga aku ke wad bersalin hanya mengambil 10 minit saja.
Aku terus ke wad bersalin, menukar baju dan terus dipaksa meneran. Semua berlaku dengan sangat pantas. Ketika ini suamiku masih tidak muncul dan aku terus bertanya supaya memanggil beliau. Aku meneran walaupun langsung tidak merasakan ‘surge’ kelahiran. Aku langsung terlupa tentang hypnobirthing memandangkan semua jururawat yang aku anggarkan seramai 8 orang berkelakuan seperti pasukan pong-pong.
‘Push kak, push, push,push. Kepala bayi dah keluar tu. Teran lagi, teraann’
Entah berapa kali aku dipaksa meneran.  Aku terus meneran dan seperti kata Pn Soo, memang sakitlah sangat kalau kita tidak rasa sakit tapi meneran. Ini adalah pengalaman pertamaku untuk merasa sakit secara normal tanpa mengambil sebarang ubat (baca sebagai dadah). Ketika ini, barulah suamiku muncul. Dan ketika inilah aku merasakan kepala sudah keluar dan bahagian sulitku koyak banyak. Aku terus merasa tidak suka pada jururawat yang memaksa aku meneran.
Kemudian, suamiku memegang tanganku dan mengatakan ‘Tenang sekarang. Sedut pernafasan perlahan-lahan dan bila rasakan surge, baru teran’.
Bagi meneran kali kedua, aku membuat ‘birth breathing’, memekakkan telinga dan menunggu ‘surge’ yang panjang. Alhamdulillah, aku langsung tidak merasakan sakit apabila badan bayi keluar tanpa merasakan sakit langsung.
Terima kasih, Pn Soo! Saya menghargai usaha dan masa anda sangat-sangat! Saya betul-betul menikmati saat-saat ini walaupun pada awalnya ditipu oleh jururawat. Ucapan ini khas untukmu kerana mengajar saya walaupun saya tidak sempat untuk pergi ke kelas kerana ketika itu usia kandungan 37 minggu.
Selepas bayi keluar, jururawat meletakkan bayi diatas tanpa mengelap verniks (selaput putih). Argh, perasaanku sungguh terharu. Seperti kata Pn Soo, melalui hypnobirthing, emak tidak akan merasa penat, letih atau mengantuk. Malah, aku boleh berbual-bual dengan jururawat yang sedang menjahit lukaku. Sepanjang malam, aku tidak mengantuk dan mengawasi anakku tanpa mengelip mata walaupun sepicing pun.
Apa yang kuperasan, hynobirthing membuatkan emak bertenaga walaupun selepas kelahiran. Sehinggakan terkeluar kata-kata dari mulut suamiku bahawa kelahiran anak kali ini, tidak memberikan dia sebarang tekanan kerana aku mampu berdikari sendiri tanpa mengharapkan pertolongan seperti kelahiran pertama. Manakala ibuku pula, hairan dengan bayiku sehingga dia berkata, ‘Kenapa dengan husna ni? Asyik tidur sahaja dan langsung tidak aktif.’
Selepas aku menerangkan tentang hynobirthing, barulah dia faham. Kelakarnya, dia pula mempromosikan hynobirthing pada orang lain.
Secara kesimpulannya, ini adalah perbezaan antara hypnobirthing dan induction:
No
Perkara
Hypnobirthing
Induction – ubat cetusan
1
Kesakitan sebelum bersalin
Keluar tanda merah. Sakit selama 12 jam secara beransur-ansur tetapi dapat mengawal kesakitan dengan cara mengawal pernafasan yang betul. Mampu mandi, basuh baju, memandu, mengemas pakaian dan makan.
Sakit kontraksi selama 8 jam. Walaupun masih awal, tetapi tidak mampu untuk berbuat apa-apa walaupun untuk makan.
2
Cara bersalin
Hanya merasakan ‘surge’ dan teran secara semulajadi mengikut ‘surge’ tanpa merasa sakit.
Berada di wad bersalin selama 3 jam dan kontraksi yang sangat kuat sehingga terpaksa dibius. Tidak dapat meneran dengan betul dan kepala bayi ‘stuck’ selama setengah jam sehingga memaksa membuat episotomi
3
Hospital / Doktor
Tidak sempat untuk dicucuk jarum ditangan dan diberi ubat untuk membuang air kecil dan besar. Doktor hanya sempat untuk memecahkan air ketuban.
Diberi induction 2 kali. Dicucuk jarum ditangan dan diberi ubat untuk membuang air kecil dan besar. Jururawat marah dengan mengatakan tidak saying anak kerana tidak meneran dengan betul.

Luka jahitan
Luka adalah secara semulajadi. Hari ke3 sudah boleh berjalan agak laju.
Episitomi disebabkan bayi sudah lemas selama setengah jam. Hampir 1 minggu terlantar dikatil dan perlukan pertolongan
4
Tenaga
Sangat bertenaga selepas bersalin. Tidak merasa penat atau letih.
Muka sangat pucat dan hampir pitam kerana kesakitan yang melampau.
5
Bayi
Sangat tenang. Hanya menangis bila terasa lapar. Sentiasa tidur dan hanya bangun ketika ingin meminum susu.
5 jam pertama adalah mimpi mengerikan kerana bayi sentiasa menangis. Kerap kembung perut. Perlu didokong pada setiap malam selama 1 bulan untuk tidur.
6
Pembuangan air besar
Hari kedua sudah membuang air besar.Sangat lawas sehingga tidak merasa takut.
Selama 2 minggu tidak dapat membuang air besar dan langsung tidak lawas walaupun makan bahan pelawas seperti betik.

No comments:

Post a Comment