Posted By Abu Saif On 14/11/2010 (10:44 pm) In ATN4
“Assalamualaikum ustaz. Saya mempunyai anak berusia tujuh tahun. Apabila saya menegur kesalahannya, dia mengatakan yang saya tidak sayangkan dia serta melebihkan adik beradik yang lain sedangkan kasih sayang saya kepada anak-anak tidak berbelah bagi. Apa nasihat ustaz?”
Demikian soalan yang ditanya oleh salah seorang peserta bengkel Sinergi Keluarga Bahagia anjuran bersama Nisa’ Titiwangsa, Yayasan Prihatin Titiwangsa dan Yayasan Selangor, semalam. Program ini terhasil daripada inisiatif YB Dr. Lo’lo’ Hj Mohd Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa yang menghubungi saya melalui Twitter menyatakan hajat besarnya mahu mengadakan sebuah program kekeluargaan terutamanya bagi penduduk sekitar Parlimen Titiwangsa yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Alhamdulillah.
Soalan dihantar dalam bentuk nota dan ia bagus kerana di dalam program yang membabitkan hal-hal kekeluargaan, biasa sekali peserta segan hendak bertanya kerana tidak mahu kondisi rumahtangganya ‘dinilai’ oleh peserta-peserta lain.
KASIH TANPA SYARAT
Mendisiplinkan anak-anak lebih mudah jika anak mempunyai tahap emosi yang baik.
Mereka yakin dengan kasih sayang ibu bapa kepada mereka, justeru teguran tidak ditafsirkan sebagai benci, sebaliknya pembetulan dan disiplin.
Mengasihi anak-anak tanpa syarat tidak sama sekali bermaksud menjadi permisif. Anak-anak perlu didisplinkan, tetapi ia mesti SENTIASA bertitik tolak daripada rasa kasih sayang, bukannya benci. Peka terhadap intonasi dan gaya bahasa yang diguna pakai semasa memarahi anak sama ada ia terbit daripada kasih sayang atau benci.
“Kenapa tumpahkan air ini? Banyak kali emak dah tegur. Kamu ni!!!” si ibu meninggikan suara.
“Hishhh, kenapa kamu ni? Bodoh betullah, berapa kali emak nak cakapppp!” si ibu tidak begitu meninggikan suara tetapi menegur anak sambil jari telunjuknya ditujah-tujah ke dahi anak.
Nilaikan, mana satu teguran yang bertitik tolak daripada kasih sayang, dengan teguran yang terbit daripada rasa marah yang tidak terkawal hingga berubah menjadi benci.
Mengasihi anak dengan syarat, sungguh mengelirukan si anak.
BAHASA KASIH SAYANG
Keduanya, sebagaimana yang telah dibincangkan sebelum ini, anak-anak malah manusia dewasa juga mengasihi dan dikasihi dalam bentuk-bentuk yang berbeza (The Five Languages of Love for Children oleh Gary Chapman). Biar pun kelima-lima bahasa kasih sayang itu penting, namun setiap seorangnya akan lebih terkesan dengan salah satu daripada lima bahasa kasih sayang tersebut.
Bahasa-bahasa itu ialah:
- Sentuhan fizikal
- Perkataan
- Masa berkualiti
- Hadiah
- Khidmat bakti
Semua ibu bapa sayangkan anak-anak. Tetapi ramai anak yang merasakan bahawa dirinya tidak disayangi (Gary Chapman). Salah satu puncanya ialah, ibu bapa mengasihi anak-anak hanya dengan menggunakan satu atau dua bahasa sahaja.
Misalnya, ibu bapa menunjukkan rasa kasih sayangnya kepada anak-anak dengan ‘perkataan’ apabila selalu menyebut kepada anak-anak, “ayah sayangkan kamu semua” atau “ibu sayang Adam, sayang Anas, sayang Anis”. Jika Anas dan Anis itu bahasa utama kasih sayangnya ialah perkataan, maka ungkapan itu berjaya membantu mereka yakin bahawa mereka memang disayangi. Tetapi jika bahasa utama kasih sayang Adam ialah sentuhan fizikal, biar pun dia juga diberitahu bahawa dia dikasihi oleh ayah dan ibunya, dia tidak dapat merasakan kasih sayang itu kerana ibu dan bapanya tidak memeluk, mencium, mengusap atau bergomol dengan Adam mahu pun adik-adik yang lain.
Dalam keadaan Adam tidak yakin dengan kasih sayang ibu bapanya kepada dia, usaha mendisiplinkan anak ini menjadi lebih rumit dan mencederakan jati diri.
Perhatikanlah tabiat-tabiat anak apabila mahu mendapatkan perhatian, juga cara anak-anak menunjukkan kasih sayangnya kepada kawan-kawan atau kepada kita sendiri, teliti apakah bentuk kasih sayang yang dia minta, apakah keluhan yang sering disuarakannya, dan perhatikan tabiat-tabiatnya dalam kehidupan seharian, untuk anda mengenal pasti bahasa kasih sayang utama setiap anak.
Andaikata ia tidak berhasil dilakukan, amat malang sekali jika anda yang sangat mengasihi anak-anak, dianggap oleh anak sebagai tidak menyayangi mereka semata-mata kerana anda tidak peduli kepada keistimewaan dan keunikan setiap seorang anak yang dianugerahkan oleh Allah itu.
Sesungguhnya Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menuturkan kelima-lima bahasa cinta itu.
Baginda memang seorang Murabbi Cinta.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
68000 AMPANG
© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor
No comments:
Post a Comment